Kategori


Tuesday, January 24, 2012

Penjajahan Minda.

Kemerdekaan yang dicapai setelah lebih empat abad negara kita dijajah oleh kuasa asing ialah hasil daripada pejuang-pejuang kemerdekaan yang tidak pernah putus asa membela nasib rakyatnya. Rakyat yang ketika itu dahagakan erti sebuah kebebasan. Rakyat yang tidak mahu lagi ditindas oleh kuasa asing. Rakyat yang tidak sanggup lagi hasil kekayaan buminya dikaut oleh kuasa asing. Setelah lebih lima dekad kita mencapai kemerdekaan, ternyata rakyat negara ini masih lagi belum bebas sepenuhnya daripada penjajahan. Penjajahan secara tidak langsung ini dipanggil penjajahan minda.
Ternyata budaya kuning masyarakat Barat semakin menular di dalam gaya hidup masyarakat negara ini. Pemikiran masyarakat kita yang kebaratan telah menyebabkan mereka mengubah gaya hidup mereka menjadi seperti bangsa yang pernah menyebabkan nenek moyang mereka dahulu terseksa. Terseksa di tanah tumpah darahnya sendiri. Baik dari segala segi, masyarakat kita jelas lebih terarah kepada gaya hidup Barat. Mungkin sekali mereka telah terlupa bahawa pengorbanan nenek moyang mereka dalam memperjuangkan kebebasan tanah air tercinta ini. Harus diingat, tanpa pengorbanan ini mereka tidak akan dapat menikmati kesenangan hidup seperti yang mereka lalui sekarang. Penjajahan ini telah menular di dalam setiap aspek kehidupan masyarakat sekarang. Daripada gaya pemakaian sehinggalah kepada gaya hidup bebas yang tidak seharusnya diamalkan di negara berdaulat ini. Semua ini bermula daripada minda masyarakat kita yang merasakan bahawa dengan meniru gaya hidup Barat, barulah kita akan setanding dengan mereka. Bak kata pepatah, “duduk sama rendah, berdiri sama tinggi”. Sebenarnya mereka silap. Sejak dari zaman penjajahan lagi, gaya hidup kita yang mengamalkan sikap berbudi bahasa dan perpaduan dalam hidup bermasyarakat telah dipuji oleh masyarakat Barat yang pernah menjajah kita terutamanya, penjajah Inggeris. Mereka mengagumi gaya hidup yang telah kita amalkan sejak berzaman lagi. Daripada cara pemakanan sehinggalah kepada gaya hidup seharian kita. Perpaduan yang telah kita amalkan setelah lebih lima dekad negara kita mencapai kemerdekaan, masih lagi tidak dapat diamalkan oleh mana-mana negara di dunia. Tidakkah seharusnya kita berbangga dengan apa yang telah kita kecapi sekarang ? Tidak perlulah kita terikut-ikut dengan gaya hidup dan cara pemikiran orang-orang Barat. Cukuplah dengan apa yang telah kita ada sekarang ini. Oleh itu, kita haruslah membebaskan minda kita daripada belenggu kebaratan yang sememangnya tidak harus diamalkan di negara ini. Kita haruslah sedar bahawa sekarang ini negara kita adalah antara sebuah negara membangun yang akan menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020 nanti. Dan ingatlah, kebebasan yang kita kecapi hari ini adalah hasil daripada pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu. Pengorbanan yang sememangnya tidak harus kita lupakan. Sedarlah.

No comments:

Post a Comment