Kategori


Tuesday, January 24, 2012

Futsal Dan Impian.


Hampir semua rakyat Malaysia mengimpikan untuk menyaksikan pasukan bolasepak Malaysia bermain di pentas Sukan Olimpik dan Piala Dunia. Bermain atau dianjingkan sebenarnya? Itu tidak penting. Yang penting sekarang ini, adakah Malaysia akan layak menyertai dua kejohanan besar ini? Itu yang perlu dipertimbangkan sebernarnya.


Apakah kekurangan pemain Malaysia berbanding pasukan bolasepak negara lain yang gah di pentas antarabangsa sebenarnya? Skill? Corak permainan? Keazaman? Tidak. Ada satu perkara yang paling penting dalam semua jenis sukan termasuklah sukan lari dalam guni iaitu stamina. Sejarah telah membuktikan.

Lihat sahaja permainan pasukan Harimau Muda mahupun Harimau Malaya baru-baru ini. Apakah mereka tidak setanding dengan lawan mereka? Tidak. Mereka setanding malah lebih bagus lagi. Tetapi kerana kekurangan stamina, mereka menjadi cepat penat lalu hilang fokus dan akhirnya menanggung kekalahan yang tidak sepatutnya berlaku.

Mungkin kita boleh kata dengan tahap bolasepak Malaysia sekarang kita hanya gah di peringkat Asia Tenggara sahaja. Dan ramai juga yang berkata bahawa mungkin suatu hari nanti bolasepak kita boleh pergi jauh di peringkat antarabangsa. Bagaimanakah ini boleh berlaku jika stamina pemain-pemain bolasepak negara kita masih di tahap yang rendah?

Mungkin kerana iklim Khatulistiwa yang membuatkan Malaysia hujan dan lembap sepanjang tahun membuatkan stamina pemain-pemain bolasepak kita lemah dan apabila beradu tenaga di atas padang menentang lawan yang berasal dari negara yang beriklim sejuk yang mempunyai tahap stamina yang tinggi membuatkan kita nampak seperti ayam di tengah padang.

Di Malaysia sekarang ini kewujudan gelanggang-gelanggang futsal umpama tumbuhnya cendawan selepas hujan mahupun kewujudan francais Ayam Goreng Uncle Bob yang semakin popular telah membuatkan remaja sekarang hampir lupa akan kewujudan permainan yang dipanggil bolasepak padang.

Memang silibus di sekolah-sekolah di Malaysia ada matapelajaran Pendidikan Jasmani yang membolehkan pelajar-pelajar bermain bolasepak di padang rumput hijau berbatu-batu di sekolah dalam masa sejam pada waktu persekolahan. Tetapi situasi sekarang ini banyak padang-padang bolasepak di sekolah-sekolah telah digunapakai untuk pembinaan blok-blok bangunan baru sekolah.

Mungkin sekarang ini kita tidak sedar akan kepentingan padang rumput hijau berbatu-batu dalam meningkatkan stamina pelapis-pelapis skuad bolasepak negara. Dan kebanyakkan remaja zaman sekarang ini lebih gemar bermain futsal dengan bangganya memakai kasut futsal yang dibeli daripada rangkaian sukan terkenal di Malaysia, Al-Ikhsan.

Futsal tidak akan membantu menaikkan stamina mereka jika dibandingkan dengan bermain bolasepak di padang rumput hijau berbatu-batu kerana saiznya yang sangat berbeza. Wahai pihak yang berwajib, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Persatuan Bolasepak Malaysia, tolonglah sedar akan kepentingan padang rumput hijau berbatu-batu, kadang-kadang berbusut, kepada pembangunan bolasepak negara seandainya anda mahu melihat pasukan bolasepak Malaysia maju di peringkat antarabangsa.

No comments:

Post a Comment