Kategori


Tuesday, January 24, 2012

Persepsi.

Kemajuan kotaraya ini telah membuatkan aku sedar bahawa diriku ini hanyalah insan biasa yang terperuk di tengah bandaraya Kuala Lumpur. Terperangkap di tengah lautan insan yang berpusu-pusu mengejar kekayaan duniawi. Kini telah terlambat sudah bagiku untuk menongkah arus kehidupan yang terpaksa ku jalani. Aku patut tahu dari dulu lagi bahawa dunia ini tidak semestinya indah seperti yang aku bayangkan. Kehilangan orang yang tersayang, kekecewaan dalam percintaan, kegagalan dalam pelajaran dan banyak lagi dugaan yang telah aku lalui dengan hati yang tabah.
Namun semua itu tidak bermakna sekiranya aku tidak mengambil pengajaran daripadanya. Memang setiap yang berlaku itu ada hikmahnya, tetapi aku merasakan memang tiada sesiapa pun yang akan dapat mengenal pasti apakah hikmah tersebut. Persepsiku terhadap kotaraya ini amatlah indah. Arus pembangunan yang melanda kotaraya ini telah melenyapkan segala impian kolot ku yang terbina semasa aku kecil. Sebaliknya, aku merasakan angan-angan ku semasa kecil, semakin membesar dan mungkin akan menjadi kenyataan. Kenyataan yang mungkin aku dapat rasakan dalam tempoh beberapa tahun lagi. Mungkin. Kotaraya ini juga telah menjadi saksi akan kekejaman manusia terhadap spesiesnya sendiri. Kekejaman yang dilakukan untuk kepentingan diri sendiri tanpa memikirkan akibatnya. Apabila berlakunya hal ini, muncullah apa yang dipanggil sebagai pelindung masyarakat yang memakai seragam hitam. Menjalankan tugas melindungi masyarakat dan menegakkan keadilan. Perpaduan yang dikecapi setelah menjalani bahtera merdeka setelah lebih lima dekad nampaknya seperti akan terhapus. Terhapus dek kerana sikap masyarakat yang pentingkan diri sendiri dan tidak mengambil pusing akan hal ehwal semasa yang berlaku di dalam negara. Minda masyarakat kotaraya ini telah banyak dipengaruhi dengan idea-idea daripada Barat yang mengamalkan gaya hidup bebas. Gaya hidup yang sememangnya tidak sesuai untuk diamalkan di negara yang berdaulat ini, yang masih mengekalkan institusi kesultanan. Keadaan ini merisaukan kerana ianya mungkin akan menggantikan budaya hidup yang telah kita amalkan sejak turun-temurun. Kotaraya ini juga menjadi tempat remaja-remaja mencari hiburan pada malam hari bersama teman-teman mereka tanpa pengetahuan ibubapa. Hiburan yang mungkin sekali akan menjadi penghancur masa depan mereka. Penghancur hidup remaja yang bakal menjadi pemimpin negara pada masa hadapan. Korupsi yang mengaburi mata masyarakat untuk berlaku jujur dan telus dalam pekerjaan mereka dan berselindung di sebalik kemegahan Menara Berkembar Petronas (KLCC) yang tersergam indah di tengah kotaraya ini. Fenomena yang dirisaukan akan menjadi penyebab perpecahan masyarakat suatu hari nanti. Asap-asap yang dikeluarkan daripada kilang-kilang mahupun kereta-kereta yang megah menyusur di jalanraya sekitar Kuala Lumpur telah menghiasi segenap ruang udaranya. Longkang-longkang yang tersumbat akibat sikap masyarakat yang masih belum sedar akan kepentingan menjaga alam sekitar. Kini aku sedar, kemajuan kotaraya ini masih tidak dihargai oleh segelintir masyarakat. Kotaraya yang terbina hasil daripada pengorbanan rakyatnya yang terdahulu. Kotaraya yang terbina atas nama pembangunan. Persepsiku berubah kini.

No comments:

Post a Comment